Antara soalan yang selalu saya terima bila bercakap tentang emas ialah, “Sekarang masih sesuai ke nak beli emas?” Biasanya soalan ini muncul bila harga emas sedang naik. Bila harga turun pula, soalan berubah menjadi, “Kalau turun lagi macam mana?”
Itulah dilema bila kita terlalu fokus kepada harga. Masa murah, takut nak beli. Bila harga sudah naik, rasa menyesal sebab tak beli lebih awal. Kemudian tunggu pula harga turun semula. Akhirnya masa berjalan, tetapi emas masih belum ada.
Saya mula menyimpan emas pada Oktober 2021. Sepanjang perjalanan ini, saya belajar satu perkara. Saya sendiri tak mampu menentukan bila harga emas akan berada pada titik paling rendah. Hari ini kita rasa mahal, beberapa tahun kemudian belum tentu harga yang sama akan datang semula.
Sebenarnya perkara ini bukan baru berlaku sekarang. Mentor saya, Tuan Mohd Zulkifli Shafie sudah menulis tentang perkara yang sama sejak tahun 2011. Ketika itu pun ada yang tunggu harga emas turun sebelum mahu membeli.
Ini jawapan beliau:
“...bila ada duit yang tak pakai dalam masa dua tahun ke atas...”
Saya suka jawapan ini sebab fokusnya bukan pada harga emas hari ini atau esok, tetapi pada tujuan kita menyimpan.
Kalau duit itu hendak digunakan bulan depan untuk bayar sewa rumah, ansuran kereta atau perbelanjaan keluarga, sudah tentu itu bukan duit untuk membeli emas. Tetapi kalau ia memang duit lebihan yang kita mahu simpan untuk jangka panjang, situasinya berbeza.
Mentor saya sendiri pernah melalui pengalaman cuba menunggu harga yang lebih rendah. Pada Januari 2011, beliau menjual semua emas ketika harga sekitar RM149 segram kerana menjangkakan harga akan turun lagi. Namun harga bergerak sebaliknya dan beliau terpaksa membeli semula sekitar RM155 segram. Akhirnya rugi kira-kira 4%.
Daripada pengalaman itu, beliau menulis:
“Jangan bermain dengan turun naik harga emas sebab tidak ada pakar yang dapat ramalkan pergerakan harga emas dengan tepat.”
Walaupun cerita itu berlaku lebih sedekad lalu, perangai kita terhadap harga sebenarnya masih sama sampai hari ini.
Bila harga turun, kita takut ia turun lagi.
Bila harga naik, kita takut sudah terlambat.
Sebab itu saya sendiri lebih suka fokus kepada berapa gram emas yang berjaya dikumpulkan, bukannya sibuk meneka harga esok.
Kalau harga turun, dengan jumlah duit yang sama saya boleh dapat gram lebih banyak. Kalau harga naik, saya sudah mempunyai emas yang dikumpulkan sebelum itu.
Bagi saya, persoalan yang lebih penting bukan:
“Esok harga emas naik atau turun?”
Tetapi:
“Berapa gram emas yang saya sudah ada?”
Itulah sebabnya saya masih menyimpan sampai hari ini. Matlamat saya bukan mencari satu hari yang kononnya paling sempurna untuk membeli emas. Matlamat saya ialah membina simpanan untuk jangka panjang secara konsisten.
Kalau masih belum mula, tak semestinya kena terus beli 1 gram. Akaun GAP Public Gold boleh dimulakan serendah RM100 dan tiada komitmen bulanan.
![]() |
| Harga Emas Sekitar Tahun 2020 dan 2021. |

